BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sabtu, 21 Mei 2011

Bab 84

Adib mengusap perut isterinya perlahan. Perut itu semakin memboyot. Sesekali dia menghadiahkan kucupan di pipi isterinya. Liyana tersenyum saja, senang dilayan begitu. Entah-entah nanti dia tidak lagi berpeluang bermesra begitu bersama suaminya. Mereka duduk bersantai di koridor bilik mereka. Koridor bilik mereka menghadap kebun buah en.Azman.

“Abang dah ada nama untuk anak kita?” Tanya Liyana. Adib berfikir sambil tangannya memegang dagunya yang licin. Dia agak rimas kalau berjanggut dan bermisai.

“Yana pulak ada tak?” Tanya Adib pula pada isterinya itu.

“Abang cakap lah dulu. Kalau tak sedap, Yana akan bagi. Tapi huruf depan A tau. Ikut huruf depan nama abang. ” Liyana tertawa kecil melihat muncung suaminya.

“Ha! Abang….Adib kan. Nanti…kalau anak kita perempuan abang nak bagi nama Adibah Nor binti Adib. Ok tak?” Adib menyebut nama itu penuh yakin. Liyana mencubit pipi suaminya.

“Abang ni… Tak nak lah Adibah Nor… Abang tau kan… Adibah Nor penyanyi kesukaan Yana. Yana tak nak anak Yana pun serupa dengan nama dia. Adibah Nor tetap satu dalam hati Yana.” Adib ketawa kuat. Sengaja dia mengusik tadi. Dia tahu minat isterinya itu pada penyanyi comel itu. Adibah Nor boleh dikatakan pujaan isterinya, menurut isterinya itu Adibah Nor penuh karisma dan amat penyayang. Lagu terlalu istimewa pulak menjadi lagu kesukaan isterinya itu.

“Ok… Kalau perempuan… Abang nak letak nama dia, Amira Safiya dan kalau lelaki abang nak letak nama dia Arief Ammar. Ok tak sayang?” Tanya Adib. Liyana angguk beberapa kali. Sedap nama tu.

“Alah…bang….sediakan lah dua nama perempuan dan dua lelaki.” Suara Liyana manja. Adib tambah suka, bukan selalu dapat mendengar suara manja itu.

“Hmm…alah…Yana lah pulak bagi kali ni.”

“Amira Adriena dan Arief Hakim.” Ucap Liyana pendek. Dia baru terfikir nama itu.

“Sedap nama tu.” Puji Adib jujur.

“Flight umi dan abah malam ni kan? Yana tak payah ikut sekali ye. Dok rumah dengan ibu Za. Biar abang dan ayah Meer je ambik diaorang.” Lembut suara Adib bagaikan memujuk, dia tahu Liyana tidak sabar-sabar menyambut ibu bapanya. Tapi, melihat keadaan isterinya membuatkannya risau.

“Yelah bang…Yana pun dah serik nak keluar jauh-jauh dalam keadaan macam ni. Lagipun umi dan abah pesan supaya Yana dok rumah je.” Beritahu Liyana. Adib gembira kerana isterinya tidak berkeras dalam hal itu. Entah kenapa isterinya itu sudah tidak sedegil dulu. Dia nampak Liyana dalam versi yang lain sekarang. Suka termenung, dan sesekali dia dapat menangkap isterinya sedang merenungnya. Renungan seakan tidak melihatnya dalam masa yang lama. Mungkin juga pembawakan budak, fikirnya. Tapi, isterinya itu tetap membahagiakannya dengan rengek manja, rajuk, belaian lembutnya dan keprihatinan terhadap dirinya. Dia bahagia hidup di sisi isterinya itu. Liyana tidak pandai berleter panjang, isterinya itu sentiasa menegurnya dengan cara yang sopan agar dia tidak rasa tersinggung. Selain itu, Liyana sentiasa memintanya memberi komen tentang perangai yang dia tidak suka. Cepat pula Liyana berusaha untuk berubah. Contohnya sikap degil, Liyana memang sudah kurang degilnya sekarang. Apa yang paling dia suka, isterinya itu sentiasa memohon kemaafan dan keredhaannya sebelum tidur. Sejak mereka mula menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri dalam erti sebenar dulu lagi isterinya akan memohon maaf dan keredhaannya sebelum tidur. Namun, dia tidak pernah mengambil kesempatan di atas kebaikan isterinya itu. Dia cuba untuk jadi yang terbaik. Dia kesal kerana pernah membuat Liyana berduka ketika mereka kehilangan anak dulu. Tapi, semua itu mematangkan mereka. Sekarang dia cuba memberi yang terbaik untuk Liyana dan anak mereka nanti. Dia sudah berjanji tidak akan sesekali menyakiti hati isterinya lagi.

****

Liyana hanya dibenarkan duduk oleh ibu saudaranya. Ibu Zanya juga nampak teruja nak jadi nenek. Nenek muda. Umur Ibu Zanya dalam 30-an. Semua kerja dilakukan oleh cikgu Normaiza. Kalau Liyana bangkit sikit becok mulut itu berleter. Bukan apa, cikgu Normaiza berjaga-jaga. Dia tahu anak saudaranya itu penat dan lesu, wajah itu saja menunjukkan keadaan fizikal anaknya. Dulu semasa mengandung anak sulongnya Afif, dia juga seperti Liyana. Cuma bezanya dia dulu lesu dan penat hanya ketika cukup bulan. Cuma anak saudaranya itu sudah mengalami kelesuan begitu ketika diperingkat awal lagi. Dulu Liyana dan suaminya yang menjaganya. Liyana masa itu berubah sama sekali,dari gadis yang lincah dan suka mencari masalah bertukar menjadi gadis yang lebih bertanggungjawab. Dia tahu Liyana tidak sabar menunggu kelahiran adiknya masa itu.

“Ha! Kenapa bangun pulak tu? Nak merayau.” Cepat saja mulut cikgu Normaiza bersuara. Liyana menghela nafas berat.

“Yana nak ke toilet lah ibu. Takkan Yana nak kencing kat sofa ni jugak.” Balas Liyana. Cikgu Normaiza tersenyum malu. Liyana pulak tergelak kecil bersama Shira dan Syasya. Cikgu Normaiza segera memimpin tangan Liyana ke bilik tandas. Liyana hanya mampu tergeleng. Dia bukannya sakit apa-apa, dia cuma mengandung. Dia hairan sampai begitu sekali layanan ibu saudaranya itu. Tapi, di sebalik itu dia tahu kasih ibu saudaranya terhadapnya seperti ibu kandungnya sendiri. Liyana sebak bila mengingati peluangnya untuk mendapat kasih sayang keluarganya semakin tipis. Tapi, dia berdoa andai dia ditakdirkan pergi anaknya nanti akan dapat menjadi pengantinya.

Liyana terkejut sebaik keluar dari tandas ibu saudaranya masih menunggu di depan pintu. Wajah itu berkerut risau. Dia pulak yang serba salah. Cikgu Normaiza hanya meninggalkannya sebaik dia duduk di sofa dan menyambung tugas di dapur. Adib dan cikgu Sameer sudah berangkat ke lapangan terbang menyambut kepulangan cikgu Nolie dan Prof. Mansur.

“Kak Long…dalam perut kak Long ada ball ye?” Tanya Syasya manja di sisi Liyana. Kepalanya sudah dilentok di bahu Liyana sambil mengusap perut Liyana yang memboyot.

“Bukanlah adik….dalam perut kak long ada adik kita. Adik dah tak dapat jadi adik lagi. Anak kak Long pulak yang jadi adik.” Jawab Shira. Liyana tertawa. Dia mengucup kedua-dua adiknya itu. Afif turut sama pergi ke lapangan terbang sebab itu rumah itu sudah sunyi sikit. Kalau tidak tentu riuh rendah dengan suara Afif yang semakin nakal mengusik adik-adiknya.

“Dalam ni ada adik kami ye kak long?” Tanya Syasya. Dia mendongak sedikit memandang wajah Liyana.

“Dalam perut kak long ni bukan adik. Tapi…anak syasya dan Shira jugak.” Beritahu Liyana. Wajah kedua-dua adiknya berkerut keliru.

“Kenapa pulak macam tu kak long? Kami kan masih kecil, takkan baby tu akan jadi anak kami pulak.” Tanya Shira. Memang benar Shira baru berusia 8 tahun.

“Biar kak Long jelaskan. Ni…anak kak long. Kak longkan kakak Shira dan Syasya. Kalau baby jadi adik Shira dan Syasya, jadi baby akan jadi adik kak long jugaklah. Tapi, dia anak kak long. Jadi sekarang, Shira dan Syasya akan jadi ibu muda.” Jelas Liyana satu persatu. Shira dan Syasya terangguk-angguk megiakan kata kakak mereka itu.

“Jadi baby akan panggil kami ibulah?” Tanya Shira. Liyana mengangguk. Kedua adiknya tersenyum suka. Entah tahu ke tidak mereka makna itu, Liyana sendiri pun kurang pasti.

“Tapi…Syasya nak baby panggil Syasya mama..” Celah Syasya.

“Ha a…Shira pulak nak baby panggil ibu. Macam kita panggil ibu.” Shira terjerit kecil. Wajah dua sepupunya itu dipandang Liyana dengan pandangan sayu.

“Kalau kak long tak ada, Shira dan Syasya jaga anak kak long seperti anak sendiri tau. Beri dia kasih sayang seperti kak long sayang Shira dan Syasya.” Pesan Liyana sebak. Air matanya cepat saja mengalir. Tapi dia segera mengesat. Shira dan Syasya terpingga-pingga melihat kak long mereka.

“Kak Long kenapa?” Tanya Shira.

“Hmm…tak ada apa-apa.”

“Tapi kenapa pulak nangis?” Tanya pulak Syasya.

“Kak long nangis sebab gembira. Baby kak long akan dapat dua ibu nanti. Janji ye…Shira dan Syasya akan sayang baby.” Ujar Liyana.

“Kami janji kak long.” Jawab mereka berdua serentak. Liyana menarik kedua adiknya ke dalam pelukannya.

p/s: Salam... sorry...tlewat sikit... DCL dah xlma lg hbs..bgitu gak ngan Slh mencintainya. nvel2 lain msh 3 yg blm lc kgsikn pd kwn2 pmbc.. 'Kerana Terlupa' msh tgantung krn lc msh busy dgn komitmen kerja lc. insyaALLAH... andai di kurniakn ilham yg melimpah ruah.. 'Kerana Terlupa' akn siap. lc mmg nak sgt siapkn nvel 2. cuma msh tbatas wktu.

0 comments: